Sayang...

Wednesday, October 10, 2012

| | | 0 comments
Jika kamu memancing ikan....
setelah ikan itu terlekat dimata kail hendaklah kamu mengambil
terus ikan itu.... janganlah sesekali kamu lepaskan ia
semula ke dalam air begitu sahaja.... kerana ia akan sakit oleh
kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin akan menderita
selagi ia masih hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan
kepada seseorang... setelah ia mula menyayangimu
hendaklah kamu menjaga hatinya.... janganlah sesekali
kamu terus meninggalkannya begitu sahaja....
kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan
mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia
mengingatimu. ...

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan
terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah
menganggap ia begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu. ...
Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menampalnya
semula.... akhirnya ia dibuang.... sedangkan jika
kamu cuba membaikinya mungkin ia masih boleh digunakan lagi....

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah
seadanya.... Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan
janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa.... anggaplah dia
manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan
kesilapan bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. ...
Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan
jika kamu memaafkannya boleh jadi hubungan kamu akan berterusan
hingga keakhirnya.. ..

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu
pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat.
Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain..
Terlalu ingin mengejar kelazatan.
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu
tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang
insan... yang kamu pasti membawa kebaikan kepada
dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah,
cuba membandingkannya dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu kehilangannya dan kamu akan menyesal apabila
dia beralih arah.

Coretan Hati Si Pelaku Dosa

Tuesday, May 22, 2012

| | | 0 comments
Ya Allah..
Hari ini, aku memungkiri lagi janji taubatku
Aku kembali mengulangi kesilapan lalu
Aku merelakan diriku dibuai godaan Nafsu
Aku biarkan diriku ditipu pujukan Syaitan

Sudah berkali-kali aku menzalimi diriku sendiri
Sudah berkali-kali aku merosakkan imanku sendiri
Walaupun aku sedar Engkau Maha Melihat
Walaupun aku sedar adanya Malaikat pencatat
Walaupun aku sedar dosa mengundang azab

Entah apa sudah jadi dengan diriku ini
Terasa Iman dijiwa semakin parah
Semakin lemah dan semakin rosak
Ketakutanku terhadap azabMu semakin kurang
Semakin pudar seakan lenyap

Aduh..teruknya diriku..

Ya Allah
Berilah aku kekuatan dan petunjuk
Agar mampu kutewaskan rayuan Nafsu dan Syaitan
Yang sangat hebat membinasakan diriku
Sangat bijak menjauhkan diriku daripadaMu
Sehingga aku lalai dalam urusan kehidupanku
Sehingga aku lupa dan tidak peduli akan kehidupan selepas matiku

Ya Allah
Bagaimanalah kedudukanku disisiMu?
Adakah diriku yang penuh dosa ini akan terselamat di akhirat sana?
Adakah aku antara manusia yang bakal memenuhi Neraka Jahanam?
Lalu aku hidup dalam binasa celaka buat selamanya?

Aku tidak mahu ya Allah
Aku tidak mahu masuk dalam golongan itu!
Aku tidak mahu hidup senang di dunia tapi sengsara di akhirat!
Aku tidak mahu...

Ya Allah..
Maafkanlah diriku
Tolong maafkan diriku
Ampunkanlah segala dosa yang aku kerjakan selama ini
Ampunkanlah segala dosa yang aku anggap remeh selama ini
Terlalu banyak..tidak terhitung..
Ampunkanlah Ya Allah
Ampunkanlah Ya Allah
Bersihkanlah diriku ya Allah
Sesungguhnya aku sangat berkehendak akan SyurgaMu!!

Aku merayu penuh harap
Lindungillah diriku daripada mengulangi kembali dosa lalu
Suburkanlah kekuatan iman dalam tekadku
Agar aku mampu mengusahakan yang terbaik dalam hidupk
Semata-mata untuk beroleh Syurga FirdausMu

Redhailah diriku Ya Allah
Redhailah keluargaku Ya Allah
Redhailah sahabat-sahabatku Ya Allah
Rahmatilah kami Ya Allah..
Rahmatilah..
Rahmatilah..

Duhai jiwa yang resah..
hayatilah pujukan murni daripada Allah ini..

Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
[39:53]

12 SIFAT SAHABAT SEJATI MENURUT IMAM AL-GHAZALI

Saturday, May 5, 2012

| | | 0 comments
1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5. Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

~Semoga kita dianugerahkan sahabat seperti itu dan menjadi sahabat seperti itu.. InsyaAllah

Cinta Tanpa Noda

Thursday, May 3, 2012

| | | 0 comments

Tak mampu kudustai rasa ini,
Cukuplah dengan pertautan hati,
Belum masanya berhubung saban hari,
Awasi hati dan anggota,
takutkan Ilahi.

Aduh!
Beratnya menggalas perasaan cinta,
Tatkala pacaran menjadi budaya,
Mujurlah wahyu menunjuk cara,
Jangan diikut sebahagian besar manusia.
(Al-An'am: 116).

Cintaku bukan cinta murahan,
Jati diri benteng pertahanan,
Cabaran komunikasi kutundukkan,
Mengawal hati formula kekuatan.
Kuberazam pada diri,
Kuingin mahligai kasihku berdiri,
Tanpa kenangan cinta yang dicemari,
Tanpa noda kemurkaan Ilahi.

Kuingin hadiahkan cinta suci,
Buat insan bernama isteri,
Dengan Allah sebagai juri,
Bukan nilaian nafsu sendiri.

BERSAUDARALAH SEPERTI RANTAI TASBIH

Saturday, April 21, 2012

| | | 0 comments
Ramai manusia di sisi
sombong dan tidak bertegur sapa
bagaimana harus aku buktikan
silaturahim suruhan Tuhan
sampai bila begini..
(petikan lagu Silaturahim nyanyian BPR)


     Lagu bukan sekadar hiburan semata, tetapi setiap lagu ada penceritaan dan mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar. Benar separti mesej dalam bait-bait lirik lagu 'silaturahim', ukhuwah atau persaudaraan sesama Islam pada hari ini dilihat semakin rapuh.

  Orang Islam adalah bersaudara kepada seorang Islam yang lain. Seorang Mukmin itu tidak boleh dianiaya, dibiarkan, didustai, juga tidak boleh dihina. Larangan ini wajib dihormati untuk memelihara perpaduan antara orang Islam yang diakui sebagai saudara.
   
     Kita hidup di dunia ini tidak sendiri. Kita hidup dalam masyarakat yang banyak perbezaan dari segi cara hidup dan berfikir, sudut pandang dan bermacam lagi ragam manusia. Oleh kerana itu, kita harus saling menjaga diri dalam menjalani kehidupan. Jangan diarkan segala perbezaan itu menghalangi kita untuk menjalin persaudaraan kerana dengan persaudaraanlah kita lebih bersedia untuk hidup bermasyarakat.

  Namun sayangnya, kepentingan dan ketamakan pada dunia telah melemahkan, bahkan menghancurkan ukhwah islamiah yang ada. Lihat sahaja di sekitar kita, betapa ramai orang yang sanggup menindas saudaranya sendiri demi mengaut kekayaan dunia, Bahkan tidak sedikit yang menggunakan cara-cara kotor agar matlamatnya tercapai seperti membunuh dan menipu.

Mari Menjalin Ukhuwah
Ukhuwah, persaudaraan ataupun silaturahim, biar apa pun istilah yang kita gunakan, ia tidak dapat terjadi apabila seseorang selalu ingin difahami dan tidak berusaha memahami orang lain.

  Menyoroti hadis Rasulullah S.A.W. yang maksudnya:" Seorang Mukmin bagi Mukmin itu umpama satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian lain dan orang Islam itu seperti satu badan. Jika matanya sakit, sakitlah seluruhnya dan jika kepalanya sakit, sakitlah seluruhnya."

  Rasulullah S.A.W. menganjurkan kepada kita untuk memperkuatkan tali persaudaraan kerana dengan cara itu, umat Islam akan menjadi lebih kuat dan berjaya. Oleh sebab itu, ada beberapa elemen dalam membina ukhuwah islamiah. Antaranya:

  • Melakukan proses taaruf
  • (mengenal)
  • Melaksanakan proses tafahum
  • (memahami)
  • Melakukan proses ta'awun
  • (tolong-menolong)
  • Melaksanakan proses
  • takaful (saling menjamin)
  • Mempunyai rasa ithar
  • (melebihkan atau mendahulukan sahabat)


  Ayuh kita menghapuskan sifat hasad dengki, kikislah rasa tamak, buangkan jauh-jauh rasa suka menghina, elakkan menipu, jauhi melaga-lagakan orang, hindari pemusuhan, jangan ditanam rasa suka membanci. Sebaliknya kita harus memelihara kemurnian hidup bersaudara. Bina persaudaraan seperti dalam satu kaum keluarga, satu aqidah, satu hala tuju, satu tempat datang, dan satu pula tempat pergi. Sakit sama dirasakan sakitnya, dan senang sama dipanjatkan syukurnya. Andai kata dengan suatu sebab seseorang itu tidak dapat melaksanakan amalan hidup ini, maka hendaklah dia hidup berdiam diri dari sikap mengganggu atau menyusahkan ornag lain.

  Ikuti pengajaran ini:"Hendaklah engkau pelihara 3 perkara yang menjadi habuan orang Mukmin iaitu:
  1. Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyusahkan dia.
  2. Jika engkau tidak mahu menggembirakan dia, maka jangan engkau menyedihkan dia.
  3. Jika engkau tidak mahu memuji dia, maka jangan engkau mencela dia.

Sumber: Gen-Q isu no.8
Bait-bait Madah
m/s 64 & 65

Bersahabat Sampai Ke SYURGA

Wednesday, April 11, 2012

| | | 0 comments

Ada orang kata, "Bercinta sampai ke syurga." Untuk itu, sama juga maksudnya dengan kata-kata, "Bersahabat sampai ke syurga." Persahabatan itu jelas apabila diambil daripada sifat amanah dalam ayat itu. Apakan yang dikatakan dengan 'amanah' dalam ayat tersebut? Amanah yang dimaksudkan ialah berjanji mengamalkan perbuatan yang baik hingga dianugerahkan dengan syurga.

Kita ambil contoh ayat, “jalan ke syurga” yang dengan sendirinya membawa maksud melakukan perkara yang baik mengikut syariat Islam. Dengan sebab perlakuan tersebut,maka sudah tentu orang yang mengamalkannya nanti pada hari akhirat akan berjalan ke syurga, bukan neraka.

Begitu juga dengan amalan bersahabat, untuk mencapai tahap ‘sampai ke syurga’, persahabatan itu mestilah mengikut apa yang digariskan atau berpandukan syariat Islam. Biar sedikit kita bersahabat, tetapi semua sahabat kita itu berkualiti dan sentiasa saling mengingati. Ayuh! Mari bersahabat sampai ke syurga. Faham-fahamkanlah ayat-ayat dalam kitab agung Al-Quran.

1: Ikhlas dalam bersahabat:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Syura ayat 23 yang bermaksud: “itulah yang Allah gembirakan hamba-hamba-Nya yang beriman dam beramal soleh. Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu upah untuk ajaran Islam yang aku sampaikan itu, melainkan kasih mesra disebabkan pertalian kerabat. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu yang baik, Kami tambahkan ebaikan baginya kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya.”

2: Tidak bersangka buruk dalam persahabatan:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani.”

3: Saling menasihati dalam persabatan:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Nisa’ ayant 114 yang bermaksud: “tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka Kami akan membari pahala yang besar.”

4: Sentiasa memaafkan dalam persahabatan:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Nisa’ ayat 148 yang bermaksud: “Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau sembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan, maka sesungguhnya Allah adalah maha pemaaf, lagi maha kuasa.”

5: Menjaga suara dalam persahabatan:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Luqman ayat 19 yang bermaksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.”

6: Amal makruf dalam persahabatan:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah maha kuasa, lagi maha bijaksana.”

7: Jujur dalam bersahabat:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Madinah ayat 119 yang bermaksud: “Allah berfirman: inilah hari yang padanya orang yang benar mendapat manfaat daripada kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal didalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.

Tuesday, April 10, 2012

| | | 0 comments
Kerana pegangan
Engkau hadapi
dugaan ini ya Sahibul Kahfi
Kami!
kalimah kebenaran telah zahir
Tak usah engkau ragukan
Kita datang dari Dia
Kita pulang pada-Nya...



"Sahabat gua" yang dimaksudkan oleh Allahyarham Rosli Khamis(Loloq) diispirasikan dari sejarah Ashab Al-Kahfi yang terakam dalam firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud:"Sesungguhnya merekalah para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan ditambahkan petunjuk buat mereka."

Petunjuk hidayah, aqidah, iman dan keyakinan terhadap akhirat yang telah menyatukan sahabat-sahabat gua ini dalam satu wadah perjuangan dan etika persahabatan. sehingga mereka terasing dari dunia kemanusiaan. Bukan berbulan, tetapi bertahun yang bernilai ratusan. Terasing bukan dalam kancah kemaksiatan. Terasing dalam nikmat ketaatan dan keimanan, bekal menuju keredhaan Al-Rahman.

Agama dan Sahabat

Pengaruh agama seseorang itu punya keterikatan dengan nilai persahabatan. Hubungan unik antara agama seseorang itu dangan sahabatnya perlu diakui. Rasulallah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:"Seseorang itu adalah berdasarkan agama sahabatnya. Maka perhatikanlah seseorang itu, siapakah bakal menjadi sahabatnya." Justeru, nilai agama perlu menjadi syarat pemilihan sahabat agar kita juga selamat. Bukan berniat meminggirkan mereka yang kurang penghayatan agamanya tetapi sekurang-kurnagnya sahabat yang terpilihara kualiti agamanya itu menjadi tonggak sebagai 'target market' untuk dakwah.

Sekadar contoh, berkawan dengan 'kaki' masjid mungkin kaki kita juga akan ringan ke sana. Namun, jika berteman dengan perokok, walau kita tidak merokok, mungkin disangka perokok kerana terpalit bau busuk rokoknya di baju kita. Jadi berteman itu biarlah bercalit wangi akhlaknya dan terlekat pula akan harum imannya.

Anda sebenarnya tahu dan boleh menilai diri anda sendiri melalui cerminan kawan yang baik atau buruk. Jika anda suka kebaikan yang ada padanya, maka itu tanda anda juga seorang yang baik. Andai sebaliknya, maka bersedialah untuk berubah dan memperbaiki diri dan hati anda.

Carilah sahabat yang boleh dijadikan ubat. Itulah sahabat yang kekal akhirat kerana kita nanti akan turut terpikat. Terpikat bukan kerana maksiat, tetapi jatuh cinta dengan syariat. Carilah sahabat yang kuat berguru menuntut ilmu, dengan syaitan pasti berseteru. Carilah sahabat yang sanggup bersusah lelah, berbakti dan beribadah kerana Allah S.W.T. Cari sahabat yang sanggup menahan 'bisa' demi kita dan kita juga sanggup melakukan yang serupa buatnya. Persis Abu Bakar R.A. dan Nabi S.A.W. yang tercinta. Bersahabat dan bertemanlah hanya kerana Ilahi. lestari manisnya ke alam syurgawi.

*************************************************************************************

Puisi Sahabat Kanti

Kawan semangkuk sepiring makan
Kawan sebantal seketiduran
Kawan sebaya sepermainan
Bagai kuku dangan daging
Bagai aur dangan tebing
Bagai ikan dengan air
Bagai jarum dengan kelindan
Ke hulu sama ke hulu
Ke hilir sama menghilir
Yang tahan asak dengan banding
Yang tahan berpahit-pahit
Kalau koyak tampal-menampal
Kalau condong sokong-menyokong
Terbakar sama hangus
Terendam sama basah
Luka tak dipampas
Mati tak diungkit
Sakit tak disebut
Salah tak ditimbang
Hutang tidak dibayar
Bagai seibu seayah kandung
Bagai kulit dengan isi
Bagai luka dalam air
Itulah kawan yang dicari
Kawan sempit kawan berlapang
Guntingnya tak memutus
Simpul tak terungkai lagi.

~Tenas Effendy (Ungkapan Tradisional Melayu Riau, DBP 1989)

*************************************************************************************

Sumber: Gen-Q isu no.8
Fastaqim {maka tetapkanlah hati}
m/s 20 & 21