Tuesday, April 10, 2012

| | |
Kerana pegangan
Engkau hadapi
dugaan ini ya Sahibul Kahfi
Kami!
kalimah kebenaran telah zahir
Tak usah engkau ragukan
Kita datang dari Dia
Kita pulang pada-Nya...



"Sahabat gua" yang dimaksudkan oleh Allahyarham Rosli Khamis(Loloq) diispirasikan dari sejarah Ashab Al-Kahfi yang terakam dalam firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud:"Sesungguhnya merekalah para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan ditambahkan petunjuk buat mereka."

Petunjuk hidayah, aqidah, iman dan keyakinan terhadap akhirat yang telah menyatukan sahabat-sahabat gua ini dalam satu wadah perjuangan dan etika persahabatan. sehingga mereka terasing dari dunia kemanusiaan. Bukan berbulan, tetapi bertahun yang bernilai ratusan. Terasing bukan dalam kancah kemaksiatan. Terasing dalam nikmat ketaatan dan keimanan, bekal menuju keredhaan Al-Rahman.

Agama dan Sahabat

Pengaruh agama seseorang itu punya keterikatan dengan nilai persahabatan. Hubungan unik antara agama seseorang itu dangan sahabatnya perlu diakui. Rasulallah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:"Seseorang itu adalah berdasarkan agama sahabatnya. Maka perhatikanlah seseorang itu, siapakah bakal menjadi sahabatnya." Justeru, nilai agama perlu menjadi syarat pemilihan sahabat agar kita juga selamat. Bukan berniat meminggirkan mereka yang kurang penghayatan agamanya tetapi sekurang-kurnagnya sahabat yang terpilihara kualiti agamanya itu menjadi tonggak sebagai 'target market' untuk dakwah.

Sekadar contoh, berkawan dengan 'kaki' masjid mungkin kaki kita juga akan ringan ke sana. Namun, jika berteman dengan perokok, walau kita tidak merokok, mungkin disangka perokok kerana terpalit bau busuk rokoknya di baju kita. Jadi berteman itu biarlah bercalit wangi akhlaknya dan terlekat pula akan harum imannya.

Anda sebenarnya tahu dan boleh menilai diri anda sendiri melalui cerminan kawan yang baik atau buruk. Jika anda suka kebaikan yang ada padanya, maka itu tanda anda juga seorang yang baik. Andai sebaliknya, maka bersedialah untuk berubah dan memperbaiki diri dan hati anda.

Carilah sahabat yang boleh dijadikan ubat. Itulah sahabat yang kekal akhirat kerana kita nanti akan turut terpikat. Terpikat bukan kerana maksiat, tetapi jatuh cinta dengan syariat. Carilah sahabat yang kuat berguru menuntut ilmu, dengan syaitan pasti berseteru. Carilah sahabat yang sanggup bersusah lelah, berbakti dan beribadah kerana Allah S.W.T. Cari sahabat yang sanggup menahan 'bisa' demi kita dan kita juga sanggup melakukan yang serupa buatnya. Persis Abu Bakar R.A. dan Nabi S.A.W. yang tercinta. Bersahabat dan bertemanlah hanya kerana Ilahi. lestari manisnya ke alam syurgawi.

*************************************************************************************

Puisi Sahabat Kanti

Kawan semangkuk sepiring makan
Kawan sebantal seketiduran
Kawan sebaya sepermainan
Bagai kuku dangan daging
Bagai aur dangan tebing
Bagai ikan dengan air
Bagai jarum dengan kelindan
Ke hulu sama ke hulu
Ke hilir sama menghilir
Yang tahan asak dengan banding
Yang tahan berpahit-pahit
Kalau koyak tampal-menampal
Kalau condong sokong-menyokong
Terbakar sama hangus
Terendam sama basah
Luka tak dipampas
Mati tak diungkit
Sakit tak disebut
Salah tak ditimbang
Hutang tidak dibayar
Bagai seibu seayah kandung
Bagai kulit dengan isi
Bagai luka dalam air
Itulah kawan yang dicari
Kawan sempit kawan berlapang
Guntingnya tak memutus
Simpul tak terungkai lagi.

~Tenas Effendy (Ungkapan Tradisional Melayu Riau, DBP 1989)

*************************************************************************************

Sumber: Gen-Q isu no.8
Fastaqim {maka tetapkanlah hati}
m/s 20 & 21


0 comments:

Post a Comment